Pages

Thursday, December 4, 2008

SELAMAT HARI RAYA KORBAN (HAJI)

Ibadah korban ialah penyembelihan haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan maksud untuk mendekatkan diri kepada Allah. Perintah berkorban telah disyariatkan oleh Allah kepada kita pada tahun ke 2 hijrah bersamaan dengan perintah solat Eidul Adha dan zakat.

Nabi s.a.w juga telah bersabda yang bermaksud:

"Tidak ada suatu amalan yang paling dicintai oleh Allah daripada Bani Adam ketika hari raya Eidul Adha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi ) dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak di suatu tempat di sisi Allah sebelum mengalir di tanah. Kerana itu, bahagiakan dirimu dengannya." (Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim)

Hukum berkorban adalah sunnah muakkadah. Sebahagian ulama mazhab Hanafi berpendapat bahawa berkorban hukumnya wajib bagi orang yang mencukupi nasab zakat. Antara rujukan mereka adalah hadis yang bermaksud:
"Barangsiapa berkelebihan (dalam harta) tetapi tidak meyembelih haiwan korban, janganlah dia mendekati masjidku." (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Makan Daging Korban

Daging korban wajib, contohnya seperti korban nazar adalah haram dimakan oleh orang yang berkorban. Daging korban sunat pula, contohnya seperti korban Eidul Adha adalah sunat dimakan oleh orang yang berkorban sekadar untuk sekali makan, selebihnya disedekahkan kepada fakir miskin dalam keadaan mentah. Diutamakan fakir miskin daripada keluarga, kemudian fakir miskin yang menjadi jiran tetangga.

Jantung hati ternakan korban sunat dimakan, kerana menurut hadis riwayat Al-Baihaqi:

"Rasulullah s.a.w memakan hati korbannya."

Allah swt juga menyuruh orang yang berkorban memakan sedikit daripadanya, sebagaimana firman Allah swt surah Al-Haj 28 yang bermaksud:

"Maka makanlah olehmu sebahagian daripadanya dan sebahagian lagi berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara lagi fakir."

Daging dan kulit haiwan korban dilarang diperjualbelikan, kerana menurut hadis riwayat Al-Hakim yang disahihkannya, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:

"Sesiapa yang menjual kulit korbannya maka tidak ada korban baginya."

Demikian pula tidak boleh memberikannya kepada penyembelih sebagai upah. Kulit ternakan korban halal dimanfaatkan oleh yang empunya, seperti membuat bekas air dan sebagainya.

Keistimewaan orang yang berkorban banyak sekali. Saidina Ali bin Abi Talib r.a telah meriwayatkan bahawa sesiapa yang meninggalkan rumahnya dengan maksud membeli haiwan korban, maka setiap langkah dikurniakan 10 kebajikan, dihapuskan 10 kesalahan, dinaikkan martabatnya 10 darjat.

Golongan yang dianjurkan atau diperintahkan untuk melaksanakan ibadah korban ialah:

  • Orang Islam

  • Merdeka

  • Baligh (Dewasa)

  • Berakal - berdasarkan ini, korban tidak diperintahkan kepada orang kafir, hamba sahaya, anak-anak dan orang gila.

  • Mampu - apa yang dimaksudkan dengan mampu ialah:
    Orang yang mempunyai kelebihan belanja dan keperluan hidup diri dan tanggungannya seisi keluarga pada hari Eidul Adha dan tiga hari sesudahnya, iaitu hari Tasyrik, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Orang yang mampu makruh meninggalkan ibadah korban, kerana Rasulullah s.a.w. telah bersabda, yang bermaksud:

"Sesiapa yang mempunyai kelapangan tetapi tidak berkorban, maka hendaklah dia mati dalam keadaan mati Yahudi atau mati Nasrani, jika dia mahu."

No comments:

Post a Comment