Fibroid adalah ketumbuhan biasa (bukan kanser) di dalam uterus dan ianya dibina oleh gentian otot. Punca berlakunya fibroid biasanya dikaitkan dengan kombinasi beberapa faktor termasuk genetik, hormon, dan faktor persekitaran. Ia menyerang 20% wanita berusia 50 tahun ke bawah (wanita di peringkat kesuburan) dan ianya merupakan penyebab utama wanita perlu menjalani histerektomi (prosedur untuk membuang rahim).
Fibroid dikategorikan berdasarkan lokasinya seperti di bawah;
- Fibroid submukus- membesar dari bahagian bawah saluran rahim ke ruangan dalam rahim.
- Fibroid intramural- tumbuh di antara otot-otot rahim pada bahagian dindingnya.
- Fibrois subserous- tumbuh di bahagian luar dinding rahim
- Fibroid pedunculated- tumbuh secara berangkai dari permukaan bahagian rahim atau permukaan bahagian dalam rahim hingga dalam rahim dan boleh merebak ke serviks.
Tanda-tanda fibroid adalah seperti berikut:
- Aliran haid yang banyak disebabkan luas pemukaan yang besar, pertambahan saluran darah dan kelemahan sistem pembekuan darah.
- Ketidakselesaan di bahagian pelvik adalah disebabkan tekanan terhadap uterus disebabkan oleh fibroid yang sedang membesar.
- Berasa senak di bahagian bawah abdomen atau kadang kala dipanggil tekanan pelvik.
- Sakit di bahagian bawah belakang disebabkan oleh tekanan di bahagian belakang yang disebabkan oleh fibroid.
- Kerap keguguran disebabkan kesukaran embrio untuk menempel dan pengecutan uterus.
- Bersalin lebih awal dari jangkaan kerana fibroid menolak kandungan ke bawah.
- Kerap membuang air kecil kerana fibroid menekan pundi kencing.
- Sakit ketika melakukan hubungan seks..
Rawatan bagi fibroid bergantung kepada tanda yang dialami, umur, saiz keluarga, saiz dan bilangan fibroid yang anda ada dan keinginan untuk mengandung pada masa akan datang. Pilihan rawatan termasuk;
- Sekiranya fibroid bersaiz kecil dan tidak menunjukkan sebarang tanda, pemantauan kerap dilakukan melalui imbasan ultrabunyi..
- Sekiranya saiz fibroid melebihi 5 cm pembedahan untuk membuang fibroid (myomectomi) mungkin diperlukan.
- Sekiranya anda telah mempunyai anak, pembuangan uterus dan fibroid (hysterectomy) lebih digalakkan.
- Fibroid juga boleh dikecutkan tanpa menjalani pembedahan melalui pengurangan aliran darah kepada fibroid dengan menggunakan kaedah embolisasi.
- Fibroid mungkin akan berulang lagi.
.